Sistem Beraja Tamadun China

Semenjak tamadun awal China (tamadun Sungai Hwang Ho di bawah pemerintahan Dinasti Shang dan Dinasti Chou) lagi China telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak secara monarki. Orang China percaya, Raja diberi mandat oleh tuhan untuk mentadbir. Pada zaman Dinasti Shang dan Chou raja berfungsi sebagai ketua agama dan angkatan tentera. Pada masa itu China mengamalkan sistem feudal. Zaman kemaharajaan yang paling gemilang ialah ketika China diperintah oleh Shih Huang Ti (Dinasti Chin). Gelaran raja ditukar menjadi maharaja semasa baginda memerintah China. Baginda menghapuskan sistem feudal dan digantikan dengan sistem provinsi/wilayah (36 buah) yang diketuai oleh gabenor..Maharaja dibantu oleh golongan birokrasi yang terdiri daripada pegawai kerajaan. Maharaja Shih Huang Ti mengamalkan undang-undang yang ketat. Undang-undang Dinasti Chin diperkenalkan oleh Han Fei Tsu, seorang ahli falsafah. Beliau menegaskan bahawa tingkah laku manusia hanya dapat dikawal melalui kekerasan dan undang-undang yang tegas. Baginda menggelarkan diri baginda sebagai Maharaja Chin Pertama ( Shih bererti pertama, Hwang Ti bererti maharaja) kerana ingin mengasaskan satu dinasti yang berlainan dari pemerintah yang terdahulu ( sistem feudal).Baginda mahu dirinya dipuja sebagai maharaja (sebelum ini raja dianggap sebagai wakil ‘Raja di Atas’). Oleh kerana baginda ada darah keturunan Tartar, baginda banyak dibantu oleh tentera berkuda Tartar dalam usaha memperluaskan wilayah China. Dalam masa sepuluh tahun, semua wilayah China tertakluk di bawah pemerintahannya. Baginda juga melatih kumpulan penjahat menjadi askar baginda.
Dalam menghadapi bahaya serangan pelanggar-pelanggar Tartar secara besar-besaran, baginda telah membina tembok besar negeri China. Anehnya,, jasa yang besar ini dikatakan oleh setengah-setengah ahli sejarah tidak menjadikan orang China terhutang budi kepadanya kerana kesalahan yang dibuat oleh baginda iaitu ‘pembakaran segala buku’. Dalam usaha menolak idea sarjana China dalam hal-hal pentadbiran , baginda telah membakar buku-buku sejarah dan falsafah yang mengandungi unsur-unsur politik dan membunuh 400 orang sarjana pada tahun 213 SM kerana menganggap mereka ‘menyusahkan’ baginda. Bagi orang China peristiwa pembakaran itu dianggap sebagai peristiwa pencabulan pusaka intelektual mereka. Semasa China diperintah oleh Dinasti Han (206 SM – 220 SM) , Sistem Peperiksaan Awam bagi perlantikan pegawai-pegawai kerajaan diamalkan. Sistem ini mengutamakan kebolehan seseorang dan terbuka kepada semua rakyat yang layak. Di bawah pemerintahan dinasti ini, pemimpin-pemimpin wilayah tidak diberi kuasa yang luas dan tidak dibenarkan memiliki kekayaan yang besar. Tujuannya ialah supaya kerajaan pusat menjadi teguh dan tidak dicabar. Dinasti Han mengutamakan undang-undang yang berasaskan ajaran Confucius. Pengasas dinasti ini iaitu Liu Pang memperkenalkan satu Hukum Kanun yang menekankan bahawa hukuman bunuh ialah bunuh, hukuman mencederakan orang ialah dicederakan dan hukuman mencuri ialah dibayar denda sebanyak yang dicurinya. Jika dibandingkan dengan Dinasti Chin, Dinasti Han ini melaksanakan pemerintahan yang kurang ketat. Baginda melonggarkan sistem kerahan buruh dan menggantikan undang-undang China yang berat dan zalim dengan hukuman yang ringan.

Comments