Sumber Ilmu

Ilmu dalam tamadun awal diperolehi melalui akal dan pancaindera iaitu melalui penelitian, pengamatan,pencerapan dan penyelidikan.Ini dengan jelas dapat dilihat melalui ilmu-ilmu falsafah, astronomi, undang-undang dan pertukangan. Seorang ahli falsafah umpamanya, banyak menggunakan akal dan pancaindera sebelum mengeluarkan sesuatu pernyataan. Begitu juga dengan ilmu astrologi (ilmu peramalan berdasarkan kajian bintang-bintang) dan ilmu astronomi, ahli-ahli bidang-bidang ini akan membuat pemerhatian dan pengamatan terhadap binatang-bintang di langit dan hasil dari penyelidikan yang dibuat itu akan terhasillah suatu keputusan tentang pengaruh peredaran bintang-bintang terhadap kehidupan seperti musim atau angin.Ini jelas dapat dilihat di Mesopotamia pada zaman Hammurabi. Melalui penyelidikan terhadap bintang-bintang, mereka membahagikan Khatulistiwa kepada 360 darjah dan mencipta lambang 12 bintang (berkaitan dengan nasib).Begitu juga dengan ilmu pertukangan, seorang anak akan memerhati dan mengamati apa yang dibuat oleh bapanya dan kemudian dia akan menjadi tukang yang berkebolehan sama seperti bapanya itu. Ilmu pertukangan membuat kapal orang Rom yang diperolehi dengan membuat penyelidikan terhadap bangkai kapal orang Phonecia juga boleh dikategorikan dalam sumber akal dan pancaindera.Hammurabi di Mesopotamia, sebelum membuat kod undang-undangnya, telah membuat penyelidikan terhadap undang-undang yang wujud sebelumnya.
Ilmu juga diperolehi melalui sumber lisan dan tulisan. Umpamanya, ilmu pertukangan di Alam Melayu pada zaman sebelum wujud sistem pendidikan formal diperolehi melalui lisan dari seorang bapa.Pada masa itu sistem pendidikan yang wujud adalah secara tidak formal. Seseorang anak itu diharapkan akan mewarisi kemahiran yang ada pada bapanya. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui Ilmu Perubatan, Matematik, dan Undang-undang. Di Mesopotamia, melalui sumber tulisan masyarakat dapat mengkaji kod undang-undang Hammurabi. Di Mesir pula, ilmu perubatannya dapat dipelajari melalui buku yang dihasilkan.
Selain dari itu, ilmu juga diperolehi melalui kajian sejarah.Di Greek umpamanya, pada zaman pemerintahan Pericles telah lahir ahli-ahli sejarah yang terkemuka seperti Herodotus dan Thucydides. Herodotus dikenali sebagai ‘bapa sejarah’. Dia menulis sejarah serangan Parsi ke atas Greek dalam 9 buah buku. Thucydides pula menulis tentang sejarah Perang Peloponnese.
Rom juga mengembangkan ilmunya melalui penulisan sejarah. Antara penulis-penulis sejarah Rom yang terkenal ialah Livy dan Tacitus. Beberapa orang penulis Greek pada zaman Rom turut menambahkan hasil kajian sejarah. Mereka ialah Plutarch dan Arrian. Plutarch merupakan penulis sejarah yang terkenal pada zaman Pax Romana. Beliau telah menghasilkan karya Lives yang mengisahkan kehidupan masyarakat Rom dan Yunani. Arrian pula telah menulis tentang kisah hidup Iskandar Zulkarnain dalam karyanya Anabasis of Alexander.
Di China, ahli sejarahnya yang terkenal dengan jolokan ‘Bapa Sejarah China’ bernama Ssu Ma Chien telah menghasilkan karya ‘Shih Ching’ yang mencatatkan tentang peristiwa-peristiwa dan personaliti-personaliti penting yang merangkumi tempoh 2000 tahun.

Comments