Sistem Beraja Tamadun India / Indus

Dalam tamadun awal India ( Tamadun Sungai Indus) yang bermula pada tahun 2500 SM, pemimpin adalah dari golongan pendeta dan berkuasa mutlak ( kerajaan bersifat teokrasi).Ini bermakna, India pada masa itu belum lagi melaksanakan pemerintahan beraja. Semasa India diperintah oleh Dinasti Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya (321 SM), India mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak dan secara monarki.Gelaran raja bertukar menjadi maharaja apabila perluasan kuasa ke kawasan-kekawasan sekitar dilakukan. Kerajaan ini kuat dengan bantuan 700,000 orang tentera yang cekap tetapi tiada belas kesihan. Petani-petani dikenakan cukai yang berat di bawah pengawasan pegawai-pegawai raja yang sangat zalim. Raja memerintah dengan bantuan Majlis Penasihat. Empayar dibahagikan kepada 5 bahagian atau wilayah dan setiap wilayah diketuai seorang wizurai. Kerajaan ini mempunyai Pejabat Peperangan yang mengandungi 6 Jabatan dan Perkhidmatan Perisik yang teratur. Pentadbiran awam termasuk Badan Perdagangan, Jabatan Kerja, Badan Upah dan Pendaftaran kelahiran, kematian dan pendapatan. Bandar-bandar dalam empayar Maurya ditadbir oleh satu badan yang dibahagikan kepada 6 jawatankuasa dan dianggotai 30 orang ahli. Ada ahli sejarah berpendapat, Chandragupta Maurya ini menjelankan sistem pemerintahan awam untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara dengan memperbaiki sistem keadilan dan pentadbiran.
Ketika India diperintah oleh Maharaja Asoka (273 SM atau 269 SM) , baginda menjalankan pemerintahan dengan baik dan berperikemanusiaan berdasarkan titah perintahnya yang diukir pada tiang-tiang batu di sepanjang jalan untuk dibaca oleh rakyat. Semua orang diberi hak dan peluang yang sama dalam pentadbiran.. Asoka sangat benci kepada kemusnahan, kekejaman dan permusuhan. Baginda membawa semangat kemanusiaan baru di kalangan raja-raja hasil dari ajaran agama Buddha yang bertindak atas rasa sensitif dan tidak mementingkan diri sendiri.Beliau mengamalkan doktrin ‘Ahimsa’ yang melarang perbuatan menyakiti atau melukai haiwan dan manusia. Asoka juga menjalankan reformasi dalam pentadbiran melalui ‘Dharma-Mahamatra’. Sistem ini memastikan pegawai-pegawai kerajaan di wilayah-wilayah melaksanakan tugas berdasarkan arahan kerajaan pusat. Asoka memerintahkan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawainya supaya adil dan bersifat belas kesihan. Asoka juga menyediakan rumah-rumah rehat, telaga dan pokok kayu untuk kemudahan pengembara dan menyediakan rumah sakit bagi merawat orang dan haiwan yang sakit. Semasa India di bawah pemerintahan raja-raja Gupta, kerajaan ini juga tidak mengganggu kehidupan rakyat kecuali untuk membasmi jenayah, tiada penganiaan terhadap agama. Hukuman bunuh jarang dilakukan. Kebanyakan kesalahan yang dilakukan dikenakan hukuman denda.

Comments

Post a Comment