Kepercayaan Tamadun China

masyarakat tamadun awal China di Lembah Hwang Ho ( masyarakat Shang) percaya bahawa tuhan-tuhan mereka menguasai semua kehidupan manusia. Sebab itulah mereka menyembah banyak objek seperti bulan, matahari, bumi, sungai, angin dan juga arah iaitu timur, barat dan selatan. Tuhan utama adalah Shang Ti yang dianggap mempunyai kuasa ke atas seluruh alam.. Objek-objek itu dianggap sebagai tuhan. Mereka percaya bahawa objek-objek itu mempunyai kuasa yang boleh menyebabkan banjir, kemarau, wabak penyakit dan serangan belalang ke atas tanaman. Bagi mengelakkan mala petaka, mereka menjalankan upacara pengorbanan untuk tuhan-tuhan itu. Masyarakat Shang juga mengasaskan pemujaan nenek moyang yang telah lama mati (ancestral worship). Kepercayaan ini merupakan kepercayaan yang tertua di negeri China. Pemujaan ini dilakukan kerana mereka percaya nenek moyang mereka yang telah mati itu mempunyai pengaruh ke atas kehidupan sehari-hari. Pendeta China telah menggunakan tulang nujum (oracle bones) untuk mendapatkan nasihat atau ramalan daripada nenek moyang ataudewa dewi tentang sesuatu tindakan yang dicadangkan.. Caranya adalah dengan menulis beberapa soalan di atas tulang nujum itu, kemudian menghempaskannya sehingga retak atau memanaskannya hingga retak. Ahli nujum akan membuat ramalan berdasarkan retak-retak yang terdapat pada tulang tersebut. Masyarakat China mempercayai bahawa tuhan-tuhan tinggal di syurga dan dapat melindungi pemuja-pemujanya dari perkara-perkara yang buruk. Penyembahan dengan binatang yang dibunuh dilakukan untuk mencapai hajat tertentu. Bila raja meninggal dunia, orang gaji dan orang tawanannya akan dibunuh dan dikebumikan bersama-samanya. Barang-barang seperti kereta kuda, jed, sutera, bahan gangsa dan alat-alat muzik ditanam bersama.

Comments