Sistem Ekonomi Tamadun Arab

Di semenanjung Tanah Arab, pertanian dan perdagangan merupakan kegiatan ekonomi yang utama. Ini dapat dilihat di Yaman (Selatan Arab). Pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi, Yaman telah muncul sebagai sebuah negara yang maju dalam pertanian. Tanahnya yang subur ditambah lagi dengan pembinaan Empangan Maarib menjadikan Yaman sebagai pengusaha pertanian yang maju sekali. Berbagai jenis buah-buahan ditanam. Yaman juga ada mengusahakan bidang pertukangan. Yaman telah mengeksport bulu biri-biri, kulit binatang, patung-patung berhala dan buah tamar melalui pelabuhan-pelabuhan Adanah dan Aden ( di Yaman), Ubullah dan Siraf ( di Teluk Parsi) dan Syuaibah (di Laut Merah). Barang-barang importnya terdiri daripada batu permata, garam, emas, sutera ( dari Teluk Parsi) dan rempah (dari Habsyah). Selain dari Yaman, perniagaan juga wujud di Hirah dan Mekah ( Mekah terkenal dengan pasar-pasar Zul Majaz, Ukaz dan al-Majannah). Sebenarnya, pada peringkat awal, ekonomi tanah Arab dipegang oleh orang Yaman. Mereka memasarkan hasil-hasil dari Hadhramaut, Zofar, India dan membawanya ke Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, mulai abad ke-6 M, kedudukan mereka diambilalih oleh orang-orang Hijaz yang menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan yang baru kerana Yaman masa itu telah dijajah oleh Habsyah/Rom dan kemudiannya oleh Parsi menyebabkan perdagangan di laut dikuasai oleh mereka manakala perdagangan di darat berpindah ke tangan orang-orang Mekah. Pedagang-pedagang Hijaz itu menbeli barang-barang dari Yaman dan Habsyah, kemudian dijual di pasar-pasar Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, Mekah juga mempunyai barang-barang dagangannya sendiri seperti berhala yang dijual pada musim haji. Perdagangan Hijaz dijalan kan pada dua musim. Pada musim panas mereka berdagang ke utara seperti ke Syam, manakala pada musim sejuk mereka berdagang ke selatan iaitu ke Yaman.
Perdagangan melalui laut telah membawa orang Arab sampai ke India dan China. Kerajaan-kerajaan Saba’ dan Himyar di Yaman mempunyai armada yang besar untuk membawa barang-barang perniagaan dari India, China, Somali dan Sumatera ke pelabuhan-pelabuhan Yaman. Perniagaan di tempat-tempat tersebut dimonopoli oleh mereka. Barang-barang dagangan yang dibawa balik dengan kapal telah dikumpulkan di Yaman, dibawa ke Hijaz dan ke Syam untuk dipasarkan ke Eropah menggunakan jalan darat (sistem kafilah). Kebijaksanaan orang Yaman berniaga atau menyimpan rahsia perniagaan terbukti dengan sangkaan orang Barat bahawa barang-barang yang didagangkan itu datangnya dari Yaman sendiri. Golongan Badawi yang mendiami kawasan padang pasir (kawasan pedalaman) bergantung hidup kepada hasil ternakan seperti unta, kambing, biri-biri, keldai dan kuda. Bagi yang tinggal berhampiran dengan kawasan subur (wadi) mereka menanam kurma, jagung, delima, zaitun, gandum dan sayur-sayuran. Mereka mengamalkan sistem barter dalam urusan perdagangan. Bagi mendapatkan pakaian dan makanan, mereka menukarkannya dengan binatang ternakan mereka. Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka merompak barang orang lain untuk memenuhi keperluan mereka. Pendek kata ekonomi di kalangan orang Badawi adalah setakat sara diri sahaja. Satu lagi barang dagangan yang menjadi sumber ekonomi Arab ialah penjualan hamba. Hamba ini adalah dari bangsa Arab dan bukan Arab.

Comments