Pentadbiran Tamadun Alam Melayu

Di Alam Melayu pentadbiran dijalankan melalui pentadbiran pusat dan wilayah. Ini ternyata dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu.(kecuali Negeri Sembilan) yang diwarisi dari sistem politik Kesultanan Melayu Melaka. Unit politik yang terbesar ialah negeri yang diketuai oleh raja/sultan. Apabila sesebuah negeri itu meluaskan empayarnya seperti kerajaan Melayu Melaka, Srivijaya, Majapahit dan Acheh, negeri dibahagikan kepada beberapa jajahan/daerah yang diketuai oleh para pembesar. Pembesar diberi hak memerintah oleh raja. Tugas mereka ialah menjaga keamanan wilayah pentadbirannya dan mengutip cukai daripada penduduk di wilayahnya. Sebahagian cukai itu diserahkan kepada raja. Wakil raja yang memerintah di wilayah jajahan dikehendaki memberi taat setia kepada raja.Bagi wilayah-wilayah yang jauh dari pusat pentadbiran, kuasa mentadbir diberi kepada pemerintah tempatan tetapi kesetiaan dan mematuhi perintah raja di pusat pentadbiran hendaklah diberikan.
Di Melaka, ketua pentadbir ialah sultan. Pentadbiran bagi tanah jajahan Melaka ialah ‘raja’ atau ‘pemerintah’ kawasan itu sendiri yang memerintah dengan restu istana Melaka. Mereka mengakui kedaulatan raja Melaka selepas negeri mereka dikalahkan. Kawasan yang ada hasil bijih timah, Mandulika dilantik menjadi pentadbir dan bertanggungjawab terus kepada raja Melaka. Kawasan taklukan Melaka diberi kuasa hak memerintah, kuasa undang-undang, kuasa awam dan jenayah dan kuasa peraturan dan adat tempatan masing-masing. Walau bagaimanapun untuk hukuman bunuh, ia tetap di tangan raja Melaka.
Srivijaya juga diketuai oleh seorang raja yang berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh sebilangan pembesar dalam pentadbiran negara. Di sini, pentadbiran diraja tertumpu kepada pentadbiran pusat seperti bidang kehakiman, pengutipan cukai dan hukuman. Pentadbiran daerah pula diketuai oleh datu. Beliau bertanggungjawab bagi hal ehwal tanah, kebajikan rakyat, memupuk kesetiaan rakyat kepada raja dan menjatuhkan hukuman ke atas penentang kerajaan.

Comments