Negara Kota Tamadun Yunani

Dalam tamadun Yunani, Negara Kotanya dikenali sebagai Polis (dari bahasa Greek) yang merupakan sebuah pusat berkubu dan menjadi ibu kota bagi Yunani. Ia merupakan sebuah pusat yang sangat dihormati. Ia menjadi pusat komuniti Acropolis pula merupakan kota berkubu di bahagian tengah. Sebenarnya yang dimaksudkan bahagian tengah itu ialah bahagian hulu sesebuah bandar dan yang termasyhur sekali ialah bandar Athens.Sebelum sesebuah negara kota itu muncul, asalnya bermula daripada kampung-kampung yang bersebaran. Lama kelamaan penduduk setiap lembah atau dataran bergabung menjadi satu komuniti politik dan bersam-sama menyembah dewa-dewa, berjual beli, menjaga pertahanan dan menjalankan pemerintahan. Pusat komuniti itu biasanya terletak di satu kawasan berbatu yang tinggi di tengah-tengah dataran dan dari situ dapat dilihat seluruh kawasan sekitar. Kebanyakan lembah-lembah Greek berbentuk piring terbalik. Pusat komuniti inilah kota berkubu dan ibu kota (polis). Luas tiap-tiap kota ialah antara 80 hingga 800 km persegi dengan purata penduduk seramai 5000 orang.
Negara-negara kota di Yunani ini kecil-kecil dan berbeza dari jirannya yang terdapat di sebalik banjaran gunung. Warganegara sesebuah negara kota tinggal begitu dekat dengan pusat pemerintahan dan sebab itulah mereka terlibat dalam pemerintahan. Dalam usaha/percubaan memerintah sendiri, mereka telah memecat raja-raja dan pembesar-pembesarnya satu demi satu. Orang Greek amat menyayangi negara kota mereka. Dalam peperangan yang sering berlaku antara negara-negara kota, warganegaranya rela mati berjuang bagi mempertahankan kota mereka itu. Malah sepanjang hidup mereka dari mula lahir hingga ke akhir hayat, jiwa raga mereka tercurah kepada negara kota mereka. Antara negara kota yang terdapat dalam tamadun Yunani ini ialah Athens, Sparta,Thebes, Corinth, Olympia dan Argos. Athens merupakan salah sebuah negara kota dalam tamadun Yunani yang paling terkenal. Sehingga pertengahan abad ke-8 SM, Athens seperti negara kota lain di Yunani menjalankan pemerintahan secara monarki (beraja). Kira-kira pada tahun 750SM raja Athens telah digulingkan kerana rakyat inginkan suara yang lebih dalam pentadbiran dan juga kerana penindasan yang telah dilakukan oleh raja. Pemerintahan telah diambilalih oleh sekumpulan bangsawan yang digelar eupatrid. Mereka telah melakukan aktiviti perlanunan dan merampas tanah untuk menambahkan kekayaan mereka. Golongan ini telah mengambilalih kuasa politik dengan menguasai Majlis dan tentera. Mereka memerintah Athens menerusi Majlis Bangsawan (Council of Nobles). Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kebangsawanan/Aristokrasi. Pegawai awam utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun dari golongan bangsawan. Petani tertindas dalam pemerintahan ini dan menjadi hamba abdi bila hutang tidak terbayar. Pada tahun 594SM golongan bangsawan telah memilih Solon sebagai ketua majistret dan memberikannya kuasa mutlak untuk membuat perubahan. Perlantikan itu dibuat kerana rasa bimbang jika seseorang ketua yang berkebolehan tidak dilantik, mereka mungkin akan digulingkan oleh seseorang yang zalim. Solon telah menubuhkan Majlis Empat Ratus (Council of Four Hundred) yang terdiri daripada golongan bangsawan dan pemilik harta yang kaya.Majlis ini kemudian bertukar menjadi Majlis Lima Ratus. Beliau telah menubuhkan semula Perhimpunan Agung ( berfungsi sebagai badan perundangan). Solon juga menubuhkan sebuah Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa untuk menimbangkan rayuan terhadap keputusan majistret. Tahap kegemilangan sistem demokrasi di Athens dicapai di bawah pimpinan Pericles (495-429SM). Pericles telah menubuhkan sebuah Lembaga yang bertindak sebagai badan eksekutif tertinggi. Ahlinya terdiri daripada 10 orang jeneral yang dilantik oleh Perhimpunan Agung untuk satu tahun. Pericles juga membuat perubahan terhadap kuasa membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman iaitu tidak lagi oleh majistret tetapi oleh sekumpulan juri. Sparta adalah negara kota yang terkuat di Yunani. Kerajaan ini berbentuk militeri. Rakyatnya terdiri daripada kaum Dorian yang berhijrah dari utara. Tenteranya terdiri daripada tentera darat dan laut. Kanak-kanak Sparta akan menjalani latihan ketenteraan bila berusia 7 tahun dan memasuki tentera bila berumur 20 tahun dan terpaksa tinggal di berek tentera sehingga berumur 30 tahun. Melalui sistem ini, kanak-kanak yang lemah dibunuh sebaik sahaja dilahirkan. Kerajaan Sparta diketuai oleh 2 raja ( dari keluarga Agiadac dan Eurypontidac) dan 5 orang Ephor. Ephor dilantik oleh Majlis Perhimpunan. Rakyat dari kelas homoioi yang berketurunan Dorian merupakan golongan pemimpin di Sparta

Comments

  1. apakah kepentingan polis kepada tamadun yunani?

    ReplyDelete
  2. Apa ciri² khas negara-kota Corinth?
    Boleh bg tau saya?

    ReplyDelete
  3. Jelaskan tentang negara-kota atau polis dalam tamadun Yunani.

    ReplyDelete

Post a Comment