Sistem Ekonomi Tamadun China

Pada zaman Dinasti Shang (1500-1100SM), jelai dan gandum merupakan bijirin utama di tanam di negara China. Petani juga memelihara lembu, kerbau, kuda, dan kambing. Kemajuan dalam bidang ekonomi di negara China dapat dikesan semasa dinasti Chou dan Han. Tamadun awal China di Lembah Sungai Hwang Ho menampakkan kegiatan pertanian yang pesat. Di situ ditanam dengan sekoi, barli, padi dan gandum. Pada zaman Dinasti Chou, terdapat sistem pengairan dan latan pertanian yang diperbuat daripada besi. Mereka juga mengusahakan penternakan seperti lembu, Khinzir, kambing dan ulat sutera. Pada mulanya kegiatan ekonomi itu dilakukan sebagai sara diri tapi kemudian menjadi komersil apabila industri tenunan telah wujud. Mereka mengusahakan tekstail dan bulu secara komersil.
Pada zaman Dinasti Chin, sistem timbang dan sukat mula digunakan. Kemajuan dalam sistem pengairan dan penggunaan baja telah menambahkan pengeluaran bijirin seperti beras, gandum, barli dan sekoi. Maharaja Han Wu Ti dari Dinasti Han telah membina tempat menyimpan padi, membuat terusan (yang menghubungkan Sungai Yangtze dengan Sungai Barat), parit dan tambak bagi mengawal banjir. Dinasti Han juga telah membuat dasar memindahkan penduduk untuk membangunkan kawasan yang kurang subur di wilayah-wilayah utara dan sempadan Mongolia. Pada tahun 198SM seramai 100,000 orang terlibat dalam pemindahan ini. Perusahaan yang dijalankan ialah membuat tembikar, barangan ukiran daripada kayu, gangsa dan jed serta menenun tekstil dan bulu.
Pada zaman Dinasti Han, China menjalin hubungan perdagangan dengan India, Mesir, Mesopotamia dan Rom. China mengeksport sutera, tembikar, barang-barang ukiran daripada kayu, gangsa , kulit binatang, kertas dan jed. Barang-barang buatan tangan China mendapat permintaan yang menggalakkan dari luar negeri. Sutera dieksport ke Rom dengan jumlah yang banyak. Selain dari Rom, sutera China juga dieksport ke Asia Tengah, Siberia dan Timur Tengah. Barang-barang importnya pula ialah gading dan kuda baka baik (dari negara-negara tropika), kaca, kain bulu dan linen (dari Asia Barat), alfalfa dan anggur (dari Asia Tengah), mutiara dan karang-karangan (dari Laut Merah). Sebenarnya, China lebih banyak mengeksport dari mengimport, menyebabkan China bertambah kaya.

Comments