Penerokaan dan Penjelajahan Tamadun Graeco-rom/ Yunani / Rom

Orang-orang Greek melakukan penjelajahan dan penerokaan kerana tanah Greek tidak subur untuk menampung penduduk yang kian bertambah. Bagi mengelakkan daripada berlakunya pembahagian tanah milik mereka, pemerintahnya telah menghantar penduduknya ke negara lain terutama ke kawasan selatan Greek. Inilah punca penerokaan secara besar-besaran yang telah merobah bentuk dunia Mediterranean dalam beberapa generasi.
Tanah jajahan Greek dibuka untuk perdagangan dan sebagai tempat pertemuan perniagaan antara kota-kota. Kawasan-kawasan itu terletak di pesisiran laut Mediterranean dan Laut hitam. Berita tentangnya dibawa pulang oleh pengembara yang menjelajah secara perseorangan sebagai pedagang atau perompak laut. Mereka menemui lombong-lombong emas di Tartessus.
Ekoran dari penjelajahan dan penerokaan orang-orang Greek itu, petempatan-petempatan Greek ditubuhkan di Pulau Sicily, Pulau Cyprus, Corsica dan pesisiran Laut Mediterranean, Laut Aegeann dan Laut Hitam. Mereka seterusnya telah menyebarkan kebudayaan dan pemikiran Greek. Antara faktor-faktor pemilihan sesatu tanah jajahan itu ialah pelabuhan yang baik, terdapat air untuk minuman dan tanah yang subur.
Menjelang kira-kira tahun 750 SM, bangsa-bangsa Yunani dan Phoenicia telah menjelajah sebahagian besar kawasan Mediterranean dan mewujudkan koloni perdagangan. Orang Phoenicia adalah pembuat kapal dan pedagang yang amat arif di Mediterranean.Orang Rom telah mempelajari cara membuat kapal berpandukan rangka kapal orang Phoenicia. Menjelang tahun 702 SM orang Phoenicia telah menubuhkan koloni di seluruh Mediterranean. Tamadun Yunani Purba merupakan yang pertama di Eropah yang cuba menganalisis dunia dari sudut sains. Antara tahun 310-306 SM penjelajah Yunani yang bernama Pytheas telah menyusuri pantai –-Atlantik ( Portugal) dan dikatakan telah mengelilingi Britain sebelum belayar pulang. Pelayaran Pytheas bukanlah atas dorongan perdagangan tetapi atas minat sains yang sebenar. Ahli geografi dan astronomi pula menggunakan pencerapan serta maklumat daripada penjelajah untuk membuat peta kawasan Mediterranean dan peta dunia. Ptolemy (seorang ahli astronomi Mesir-Yunani ) telah menghasilkan peta dunia yang terbaik sehingga abad ke-15 hasil dari maklumat yang diperolehi dari ahli geografi yang diperolehi penjelajah.
Iskandar Zulkarnain Agung (356-323 SM) yang berasal dari Makedonia pernah menjadi penguasa Greek yang diwarisi dari ayahnya, Philip II merupakan seorang penjelajah dan peneroka yang hebat sekali. Baginda telah menjelajah dan menawan wilayah Parsi, Mesir, Mesopotamia. Dalam proses penjelajahannya, baginda telah mengumpulkan maklumat tentang geografi kawasan yang jatuh ke tangan baginda. Tenteranya diiringi sekumpulan juruukur, ahli geografi, ahli matematik dan ahli astronomi. Ahli geografinya memetakan wilayah taklukan yang merentang dari Sungai Indus ke timur Mediterranean. Orang Rom terus mengembangkan pengetahuan dunia yang diasaskan oleh orang Yunani. Namun tujuan mereka agak berbeza. Pada dasarnya, pembuat peta dan juruukur Rom berperanan untuk mewujudkan dan mengekalkan Empayar Rom.
Semasa Rom sebuk meluaskan penjajahannya, Empayar Rom merangkumi kesemua kawasan yang bersempadan dengan Mediterranean dan menuju ke timur hingga Mesopotamia dan meliputi keseluruhan barat Eropah hingga ke utara (Britain). Dengan itu, penjajahan Rom menjadikan bangsanya menjelajah jauh sekali ke negara-negara lain.
Orang Rom juga mengetahui tentang India melalui kempen penjajahan Iskandar Zulkarnain dan mereka juga mengetahu serba sedikit tentang Timur Jauh ekoran barang dagangan yang tiba dari China ke dunia Rom melalui Jalan Sutera. Namun orang Rom jarang mengembara melepasi sempadan mereka. Mereka banyak mengembara di dalam kawasan empayar mereka. Orang Yunani Purba dan Rom telah menerbitkan buku serta panduan pelancongan untuk pelancong. Salah sebuah buku yang masyhur ialah ‘Hellados Periegesis" ( Panduan Melawat Yunani) yang ditulis pada abad ke-2 M oleh penulis Yunani yang bernama Pausanias.
Bagi melicinkan perjalanan, orang Rom telah membina jalan-jalan bagi menghubungkan antara bandar-bandar di dalam empayarnya. Orang Rom memang terkenal sebagai pembina jalan raya dan jalan raya yang dibina itu sangat lurus dengan jarak yang begitu jauh. Jalan-jalan lurus ini bertujuan mempercepatkan penghantaran bekalan dan utusan serta askar jika berlaku kekacauan.
Bagi mempercepatkan perjalanan melalui laut, orang Rom telah mempelajari cara-cara membuat kapal berdasarkan rangka kapal orang Phonecia. Dengan itu penjelajahan melalui jalan laut di sekitar Laut Mediterranean itu membawa kepada kegiatan menjajah, telah memunculkan Rom sebagai perampas perdagangan di seluruh Laut Mediterranean dan menjadi kuasa besar di situ.
Menjelang abad ke- 5 M, Empayar Rom mula merosot akibat serangan tentera gasar dari Eropah Timur ( German). Menjelang tahun 476 M Empayar Rom runtuh. Walau bagaimanapun, maharaja Kristian Rom yang pertama iaitu Constantine 1 ( 306-337 M) telah mengasaskan Constantinople ( Istanbul, Turki). Constantinople menjadi pusat Empayar Byzantine Kristian (Rom) yang wujud hingga abad ke-15.Melalui penjelajahnya yang juga mubaligh, agama Kristian disebarkan ke kawasan-kawasan yang dijelajahi. Penjelajahan dan pejajahan Rom ke bumi Arab ( Arab Utara dan Selatan) juga menampakkan motif perdagangan dan penyebaran agama Kristian.

Comments