Pembentukan Empayar Tamadun Alam Melayu

Di Alam Melayu juga terdapat beberapa buah kerajaan yang membentuk empayar seperti kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Cara empayar di Alam Melayu mewujudkan empayar ialah melalui beberapa cara seperti peperangan ( seperti yang dilakukan oleh empayar Srivijaya dan Funan), perkahwinan politik, penerimaan ufti 9 seperti yang dilakukan oleh beberapa kawasan sekitar Srivijaya kepada Srivijaya) dan menggunakan metos dan legenda (seperti yang dilakukan oleh kerajaan Srivijaya bagi menunjukkan kebesarannya dan menggerunkan negeri-negeri sekitar). Kerajaan-kerajaan awal Asia Tenggara membina empayar atas motif memperluaskan politik dan mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing. Kerajaan Srivijaya yang terletak di Sumatera berpusat di Palembang(Abad ke-7 - ke-14 M) muncul selepas kejatuhan empayar Funan. Srivijaya merupakan sebuah empayar Melayu awal yang sangat bergantung kepada perdagangan. Kedudukannya di Selat Melaka dan Selat Sunda menjadikannya pengawal lalu lintas di kawasan itu yang selama ini dipegang oleh Kerajaan Kantoli dan Melayu.
Bagi mengukuhkan penguasaannya dalam bidang ekonomi, Srivijaya telah menawan kerajaan-kerajaan Jambi (671-685)di Sumatera, Kedah (682-685M)hingga ke Ligor di Tanah Melayu, Bangka, Tulang Bawang dan Minanga di Sumatera, Tarumanaga di Jawa Barat. Penguasaan tersebut menjadikan Srivijaya amat berkuasa mengawal laluan perdagangan China-India selama 3 abad. Pada abad ke-8M, Mataram di Jawa Tengah di bawah Dinasti Sailendra telah mengancam Srivijaya hinggakan sejak tahun 775M kerajaan Srivijaya mula diperintah oleh keturunan Sailendra dari Jawa itu.. Pada abad ke-8 hingga ke-10 M empayar Srivijaya telah berpecah menjadi negeri-negeri kecil. Pada akhir abad ke-10M Srivijaya muncul kembali sebagai pusat perdagangan. Pada tahun992M inilah Srivijaya menyerang Jawa untuk menguasai Selat Sunda. Srivijaya telah berjaya menyekat kapal-kapal daripada singgah di Jawa. Dengan itu Srivijaya dapat mengembalikan kuasanya ke atas bekas tanah jajahannya. Kejayaan Srivijaya menguasai kerajaan-kerajaan lain memudahkannya menguasai perdagangan di Asia Tenggara. Dasar perluasan kuasa telah memberi keuntungan kepada Srivijaya kerana ia telah dapat memungut hasil cukai daripada kapal-kapal yang belayar melalui Selat Melaka dan Selat Sunda. Srivijaya juga menerima ufti daripada tanah jajahannya serta mengawal/menguasai hasil keluaran dari kawasan pedalaman Sumatera dan Tanah Melayu.Dengan barangan dagangan yang banyak, Srivijaya mampu menarik ramai pedagang singgah di pelabuhannya. Untuk memantapkan keselamatan negara dan kepentingan ekonominya, Srivijaya telah menjalin hubungan baik dengan China dan India Selatan (Kerajaan Chola). Satu aspek yang patut juga disentuh di sini yang menjadikan Srivijaya menjadi tumpuan masyarakat Nusantara ialah kemunculannya sebagai pusat agama Buddha yang bertaraf antara bangsa dan pusat bahasa sanskrit di Nusantara.
Kerajaan Srivijaya nampaknya tidak dapat bertahan selama-lamanya apabila kerajaan ini tidak putus-putus dicabar dan digugat oleh kuasa-kuasa luar. Serangan dari Kerajaan Chola di Selatan India pada tahun 1025M telah melemahkan Srivijaya. Jajahan Srivijaya di Kedah, Panei, Langkasuka dan Jambi telah dikuasai Raja Chola. Dengan kenaikan kerajaan Sukhotai , orang-orang Thai memperluaskan kuasanya dengan menawan jajahan Srivijaya di utara Semenanjung Tanah Melayu. Kebangkitan empayar-empayar Singhasari dan Majapahit di Jawa Timur turut mengancam kegemilangan Srivijaya. Palembang yang menjadi pusat pemerintahan Srivijaya telah ditawan Majapahit pada tahun 1377M. Pukulan muktamad yang mempercepatkan kehancuran Srivijaya ialah dengan perkembangan Islam di Nusantara. Menjelang akhir abad ke-13 M kebesaran Srivijaya hanya tinggal sebagai tinggalan sejarah sahaja.
Kerajaan Majapahit (1292 -1528M) pada zaman kegemilangannya (1293 -1389) telah mewujudkan satu empayar yang penting, luas dan berpengaruh di Nusantara. Motif perluasan empayarnya adalah untuk menguasai perdagangan Nusantara. Gajah Mada adalah Perdana Menteri kepada pemerintah Hayam Wuruk (1350-1398M) yang berjasa dalam perluasan kuasa Majapahit. Kuasanya meliputi Bali, Makasar, sebahagian Borneo, Temasik, Pahang, Selatan Sumatera (termasuk Srivijaya) dan Sunda di Jawa Barat. Kejatuhan Srivijaya ke tangan Majapahit membolehkan Majapahit menguasai jalan perdagangan di Selat Melaka. Pedagang-pedagang dari Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat bertumpu ke Majapahit. Kematian Gajah Mada menjadi titik tolak keruntuhan kerajaan Majapahit. Di samping faktor dalaman (ketiadaan pemimpin sehebat Gajah Mada, rebutan kuasa), kebangkitan Melaka dan perkembangan Islam di Nusantara khususnya kebangkitan Islam di Demak ( Jawa)turut membantu kemerosotan Majapahit. Kerajaan Melayu Melaka yang sedang berkembang mula menguasai jajahan Majapahit di Sumatera. Jajahan takluknya yang lain mula membebaskan diri daripada kuasa kerajaan Majapahit. Kerajaan islam Demak mula mengambilalih kekuasaan Majapahit di Jawa.
Kerajaan Funan Kerajaan ini dikatakan telah wujud sejak abad pertama Masihi lagi di Kemboja.Ia didirikan oleh seorang Brahmin yang bernama Kaundinya ( ada pendapat mengatakan bahawa Kaundinya adalah orang luar, mungkin datang dari India, Tanah Melayu atau pulau-pulau di sebelah selatan)). Inilah negeri kuasa besar yang pertama dalam sejarah Asia Tenggara yang mempunyai beberapa daerah taklukan dalam masa keagungannya (kerajaan Tun Sun, Tu-kun, Ciu Cih/Cu-li, Langkasuka). Pemerintah Funan yang paling masyhur ialah Fan Shih-man yang dikatakan telah menawan Indo-China, Siam, Langkasuka dan utara Tanah Melayu. Ia merupakan negeri perniagaan laut yang terawal sekali di Asia Tenggara yang mempelopori Srivijaya kemudian. Ibu kotanya yang mula ialah Vyadhaputra dan bandar pelabuhannya ialah Go-Oc-Eo yang terletak di Lembah Sungai Mekong. Tapak peninggalan pelabuhan itu menunjukkan bukti-bukti tentang perhubungan lautnya dengan pantai Teluk Siam, Tanah Melayu, Indonesia, India, Parsi dan Mediterranean. Pada ketika itu pelabuhan itu terletak di tengah-tengah perjalanan laut yang sibuk iaitu di antara China dengan Barat.Kerajaan ini ditewaskan pada akhir abad ke-6 oleh seorang ketua pemberontak dari Chenla yang bernama Bhavavarman. Kerajaan Chenla ini dianggap sebagai kerajaan pra-Angkor. Kerajaan Chenla dikalahkan oleh Maharaja Indra (787-812), rajan Srivijaya dari keturunan Sailendra di Jawa. Kerajaan ini menjadi jajahan Srivijaya selama 28 tahun hingga tahun 802M.
Kerajaan Angkor, Kejatuhan kerajaan Chenla menaikkan Kerajaan Angkor dengan Jayavarman II (802 – 850M) di Barat Laut Kemboja sebagai rajanya yang pertama (atas bantuan kerajaan Srivijaya). Ibu kota Angkor terletak di Indraputra.Di kalangan raja-raja Angkor, Raja Suryavarman 1 (1002-1050), seorang putera raja Tambralinga merupakan raja yang terkenal dengan perluasan kekuasaan Kemboja. Semasa empayar ini di bawah pemerintahan Suryavarman II, Angkor membentuk empayar yang luas ( 1113 – 1150 M). Empayar angkor meluas hingga ke wilayah Mon di Lembah Menon dan Tambaralinga di Selatan Thai. Empayar Angkor mencapai puncak kekuasaan semasa diperintah oleh Jayavarman VII (1181 – 1218M). Champa dikuasainya ( 1203-1220M). Angkor juga meluaskan kuasanya ke atas Pagan di Myanmar. Kerajaan Angkor mengalami kelemahan akibat migrasi orang-orang Thai dari utara dan pukulan yang membawa kejatuhannya ialah serangan kerajaan Ayuthya pada tahun 1432.
Kerajaan Sukhotai, Sebenarnya orang-orang Thai berasal dari wilayah Yunan, China. Apabila kerajaan mereka, Nanchao ditakluki Mongol pada tahun 1253 mereka berpindah ke selatan. Perpindahan mereka ke selatan itu telah menyebabkan penubuhan kerajaan Sukhotai dan melemahkan kerajaan Kemboja. Pengasasnya ialah Rama Khamheng (1275-1317) , putera Sri Indrachtya yang menakluki Sukhotai pada tahun 1238. Rama Khamheng telah meluaskan kawasannya ke utara Tanah Melayu, Ligor dan Pattani. Kematian Rama Khamheng menjadikan kerajaan Sukhotai menjadi lemah hinggalah munculnya kerajaan Ayuthya pada tahun 1350.

Comments

Post a Comment