Negara Kota Tamadun Arab

Di Semenanjung Tanah Arab, negara kotanya didirikan oleh penduduk bandar atau dikenali sebagai Hadhari. Negara kotanya terdapat dalam kerajaan-kerajaan Selatan, Tengah dan Utara. Di kawasan selatan terdapat kerajaan Yaman, di kawasan tengah ialah kerajaan Hijaz/Makkah manakala di sebelah utara terdapat kerajaan-kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Berbeza dari negeri-negeri bahagian utara dan tengah, Yaman menyaksikan suatu tingkat kemajuan yang terawal sekali dalam sejarah tamadun Arab purba. Hal ini berkait rapat dengan kedudukan alamnya yang sesuai sebagai tempat pertemuan bagi para pedagang. Di sini air hujan sentiasa turun di samping kesuburan tanahnya sendiri. Saba’ (955SM - 115SM) adalah kerajaan yang paling terkenal di Yaman. Kerajaan ini mengamalkan sistem pemerintahan beraja demokrasi. Kemasyhuran kerajaan Saba’ adalah kerana ratunya yang bernama Balqis dan rakyatnya yang (walaupun kuat dan berani namun) mementingkan perdamaian. Kerajaan ini runtuh kerana kecuaian rakyatnya sendiri terutama pemimpinnya, sehingga akhirnya berlakulah banjir yang besar yang menghancurkan Empangan Maarib (nadi pertaniannya). Rakyatnya telah menyelamatkan diri ke bahagian tengah dan utara tanah Arab. Kerajaan ini diganti oleh kerajaan Himyar yang dapat mengembalikan kegemilangannya. Kerajaan ini lebih menekankan perluasan jajahan takluk. Kerajaan ini kemudian jatuh ke tangan Rom dan Parsi yang sekian lama memerhati kemakmuran Yaman. Kedua-kedua kuasa besar itu sentiasa bersaing bagi meluaskan pengaruh dan menyebar agama masing-masing. Keruntuhan kerajaan Yaman telah memuncukan sebuah kerajaan di kawasan tengah iaitu Hijaz atau Makkah. Kedudukan geografinya di tengah-tengah tanah Arab menjadi kawasan pertemuan di kalangan saudagar-saudagar dari utara dan selatan. Apatah lagi setelah kaabah dibina, bandar Makkah telah menjadi pusat pertemuan berbilang bangsa dari seluruh pelusok dunia bagi mengerjakan ibadah. Suatu yang amat unik bagi kota Makkah ini ialah ia tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa penjajah walaupun ada yang pernah mencuba. Sistem pentadbirannya dijalankan oleh kabilah. Yang terkenal ialah kabilah Quraisy di bawah Qusai bin Kilab. Qusai telah mengatur sistem pentadbiran yang sistematik dan berjaya menyatukankabilah-kabilah Arab. Di sebelah utara Arab, muncullah beberapa buah kerajaan seperti kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Kerajaan-kerajaan utara ini merupakan kerajaan penampan bagi kuasa Rom dan Parsi.

Comments