Kesenian Tamadun Arab
Kesusasteraan
Masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam amat menyanjung penyair-penyair berbakat. Penyair dipandang tinggi dan terhormat. Biasanya apabila pada sesatu kabilah itu muncul seorang penyair, maka datanglah utusan dari kabilah-kabilah lain mengucapkan selamat kepada kabilah itu. Diadakan pestadan jamuan besar-besaran dengan menyembelih binatang-binatang ternak dengan diiringi oleh tarian dan nyanyian wanita-wanita kabilahnya.. Antara penyair yang terkenal pada masa itu ialah Hassan bin Thabit, Hatim al-Tai, Al-A’sya, Muhalhil bin rabiah, Zuheir bin Abi Salma, Tarfah bin Al-Abd, Al-Qatami, Al-Hutaiah dan lain-lain lagi. Kedudukan yang terhormat tersebut terjadi kerana mereka jugalah menjadi juru cakap kabilahnya. Peranan penyair itu ialah meninggikan kabilahnya sambil merendahkan kabilah lain. Mereka juga merupakan jurnalis dan sejarawan. Tema syair Arab zaman jahiliah ini berkisar kepada kisah-kisah kaum mereka atau keadaan sekitar. Bahasa yang digunakan dalam syair-syair tersebut ialah bahasa Arab Quraisy.
Bagi meningkatkan mutu syair, diadakan pertandingan menggubah syair pada musim haji terutama di pasar Ukkaz. Mereka mengambil kesempatan pada musim haji kerana pada masa itulah Mekah menjadi tumpuan orang mengerjakan haji. Syair-syair yang menang digantung di Kaabah dan ditulis dengan warna emas untuk tatapan masyarakat.
Seni bina, seni ukir.
Di Yaman terdapat peninggalan yang menampakkan bahawa kerajaan selatan Semenanjung Tanah Arab itu mempunyai kemahiran seni bina. Sehingga ke hari ini masih kelihatan peninggalan empangan Maarib yang dibina di antara dua buah gunung untuk menampung air bagi kegunaan pertanian dan mengelakkan banjir. Ia mula dibina pada tahun 750 SM. Empangan ini dibuat dari batu yang sungguh kukuh. Ternyata ia dibina dan dibuat perancangan oleh arkitek yang mahir. Selain dari empangan tersebut, terdapat juga binaan kuil-kuil agama untuk ‘tuhan bulan’. Tiang-tiangnya yang tegak kukuh masih berdiri hingga ke hari ini. Kerajaan Saba’ di Yaman ini juga telah mendirikan benteng-benteng pertahanan yang kukuh, istana-istana yang besar lagi indah (seperti istana Ghumdan, istana Salihin dan istana Bainun), bangunan-bangunan yang indah dan tinggi yang tiada taranya pada zaman dahulu serta membuat barang-barang ukiran yang cantik.
Di utara Semenanjung Tanah Arab iaitu di bandar Batra’di Anbat, banyak rumah berhala yang dahulunya diletakkan patung tuhan-tuhan yang disembah oleh penduduk Anbat dibina dan tiang-tiangnya masih kelihatan hingga ke hari ini. Bandar Tadmur yang juga terletak di utara Arab pula merupakan bandar yang dikatakan dibina atas perancangan yang rapi oleh sekumpulan arkitek. Batu-batu granet yang besar telah dibawa dari ulu Sungai Nil di Mesir. Di jalan raya bandar itu tegak lebih kurang 750 buah tiang dari batu putih yang kemerah-merahan. Tinggi tiap-tiap satunya ialah 55 kaki. Di permulaan jalan bandar itu dibina pintu gerbang yang dibina di sebelah suatu rangka patung tuhan mereka yang terbesar iaitu patung ‘Syams’. Patung Syams ini dan beberapa tiang lagi masih ada hingga ke hari ini.
Comments
Post a Comment