Organisasi Ketenteraan Tamadun India /Indus

Dalam bidang pentadbiran ketenteraan, Chandragupta Maurya dikatakan raja yang mula-mula sekali mempunyai organisasi ketenteraan yang tersusun dan berkesan. Plini menggambarkan bahawa Chandragupta Maurya mempunyai jumlah angkatan tentera yang terdiri daripada 600,000 orang askar berjalan kaki, 30,000 orang tentera berkuda dan 9,000 orang tentera bergajah di samping tentera-tentera berkereta kuda. Raja merupakan pegawai tertinggi angkatan tentera. Untuk mengendalikan tenteranya yang begitu ramai, beliau membahagikan kepada 30 badan pentadbir dan diagihkan kepada 6 lembaga. Tiap-tiap lembaga mengandungi 5 orang ahli. Badan-badan tersebut meliputi tentera laut, tentera berjalan kaki, tentera berkuda, tentera bergajah, tentera berkereta kuda dan tentera berkenderaan yang membekalkan alat-alat senjata. Tenteranya juga terdiri daripada berbagai kelas masyarakat dan bertugas semasa berlaku peperangan sahaja. Tenteranya dibayar gaji tetap. Arthasastra pula menggambarkan bahawa terdapat juga jururawat-jururawat dan doktor-doktor yang ikut serta dalam peperangan untuk membantu tentera yang tercedera. Di Mohenjo Daro dan Harappa dibina kubu dengan dinding yang tingginya 400 meter panjang dari utara ke selatan dan lebarnya ½ km. Tembok kubu Harappa dibuat daripada batu lumpur dengan batu terbakar yang tebalnya 18 meter. Sebenarnya di setiap bandar dalam Tamadun Indus dibina kubu yang kuat untuk melindungi bandar daripada musuh.

Comments