Organisasi Ketenteraan Tamadun Alam Melayu

Kerajaan-kerajaan Melayu juga mempunyai angkatan tentera yang kuat terutama kerajaan-kerajaan yang terkenal dengan perluasan empayarnya seperti Srivijaya, Majapahit, Melaka Acheh dan Funan. Srivijaya mempunyai angkatan laut yang kuat. Kerajaan ini menggunakan angkatan lautnya untuk memaksa kapal-kapal dagang singgah di pelabuhannya. Dalam aspek pertahanan ini, organisasi tentera yang ditubuhkan oleh Srivijaya dipanggil Orang Laut. Orang Laut melindungi pedagang dari serangan lanun. Orang Laut inilah juga yang melindungi Parameswara ketika menyelamatkan diri ke Tanah Melayu dari serangan Majapahit. Dengan angkatan tentera yang ramai, Srivijaya telah menawan beberapa buah kerajaan di utara Tanah Melayu dan Sumatera. Kerajaan Srivivjaya telah mewujudkan satu unit pentadbiran ketentraan yang diketuai oleh seorang panglima bergelar pratisava.
Kerajaan Melaka semasa pemerintahan Parameswara, telah menubuhkan organisasi tentera yang dipanggil Orang Laut. Tugasnya ialah untuk melindungi pedagang dari lanun. Pada peringkat awal Melaka ditubuhkan, Melaka sering diancam oleh Siam dan Majapahit. Bagi mempertahankan Melaka dari ancaman-ancaman luar, Parameswara telah meminta perlindungan dari Negeri China. Beberapa jawatan diwujudkan dalam pentadbiran Melaka untuk menjamin keselamatan negeri Melaka. Jawatan Bendahara dalam kerajaan Melaka berfungsi sebagai ketua angkatan tentera, sementara Laksamana pula merupakan ketua angkatan laut. Temenggong dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan keselamatan dalam negeri dengan bantuan pasukan keselamatan. Kekuatan tentera Melaka terutama semasa di bawah Bendahara Tun Perak membolehkan Melaka meluaskan empayarnya meliputi beberapa buah kawasan di Tanah Melayu dan Sumatera.
Majapahit juga pernah muncul sebagai sebuah kerajaan yang kuat dirantau ini. Dengan angkatan tentea yang besar dan kuat, kerajaan ini telah memperluaskan empayarnya dengan menawan beberapa buah kerajaan di Tanah Melayu, Kalimantan, Sumatera, Jawa dan Bali. Kerajaan Funan pula memperluaskan empayarnya dengan menawan Indo-China, Siam, Langkasuka dan utara Tanah Melayu. Alat-alat yang digunakan dalam pertahanan di Alam Melayu ialah keris, tombak dan pedang. Perahu dan kapal turut membantu membawa angkatan laut.Bagi menguatkan ketahanan mental dan fizikal, silat merupakan cara mempertahankan diri secara tradisional.

Comments